Monday, March 2, 2015

Bismillah

Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha
Penyayang. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
dan ke atas keluarga dan para sahabatnya.

Bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya blog ini dilahirkan selepas beberapa kali percubaan membuat blog sendiri..hehehe. Sebagai hamba Allah SWT yang lemah kami menadah kedua belah tangan kepadaMu ya Allah, mengharap segenggam kasih sayang dariMu, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang, agar dapat kami harapkan kehiduan sementara ini dengan segala hiasan kehebatanMu yang sentiasa tiada tolok bandingnya, tersangat abadi lagi kekal untuk sekian lamanya.

Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang terbaik buat kita semua dalam mendekatkan diri kepadaNya, dan kehidupan yang dilalui dimanfaatkan untuk mengabdikan diri kepadaNya. In sya Allah.

Che Min nak citer sikit kenapa last-last lahir jugak blog ni...

Stress tak reti nak buat ayat..ha..tu la punca utama Che Min cari jalan mana nak belajar buat ayat. Belum masuk part mengayat. Mengayat memang Che Min tak reti...opss belum belajar kot. Dalam duk cari cikgu-cikgu buat ayat ni macam-macam orang Che Min jumpa, dalam perjalanan tu Che Min jumpa dengan group Jutawan yang bagi booster untuk Che Min menulis dan belajar buat ayat. Ayat power ke tak power ke kita sama-sama tengok nanti. 

Jom sama-sama doakan Che Min istiqamah dalam menjalankan taggungjawab sebagai hamba Allah SWT, umat Nabi Muhammad s.a.w., anak yang solehah untuk Mama & Abah, pekerja gomen, student dan masyarakat..

Jom doa sikit, kita sama-sama baca doa yang Che Min baca masa kat Raudhah (Che Min rindu sangat-sangat la nak pi Raudhah lagi)

Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha
Penyayang.

Segala puji-pujian tertentu kepada Allah, seru sekalian alam, puji-pujian yang menepati segala nikmatNya, yang selaras dengan segala kelebihanNya, wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah puji-pujian yang selayaknya dengan keagungan dan kebesaran kekuasaanMu, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabatnya. Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah dosaku, dosa kedua ibubapaku, datuk nenekku dan semua kaum kerabatku, saudara maraku dan sekalian guru-guruku, seterusnya sekalian mukmin mukminah, muslim dan muslimah sama ada yang hidup ataupun yang telah mati, dengan limpah rahmatMu wahai Tuhan yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang.

Ya Allah ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon syafa'at NabiMu dan RasulMu junjungan Muhammad s.a.w. ke atasku di hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang yang berjalan kepada Allah dengan hati yang selamat dan sejahtera dari syirik dan penyakit munafiq. Sempurnakanlah keampunan kepadaku sepertimana Engkau sempurnakan kepada mereka yang sezaman dengan Rasullullah s.a.w. Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah rasulullah s.a.w. orang yang mula-mula sekali memberi syafa'at, yang paling berjaya daripada orang yang memohon dan paling mulia dari golongan mereka yang terawal dan terkemudian dengan kemuliaan dan kemurahan-Mu, wahai Tuhan yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang.

Ya Allah ya Tuhanku! Aku pohon kepadaMu keimanan yang sempurna, keyakinan yang sebenar sehingga aku mengetahui tidak akan menimpa bencana kepadaku melainkan apa yang telah Engkau tetapkan, aku memohon ilmu yang berguna, hati yang sentiasa khusyuk, lidah yang selalu menyebut namaMu, limpah kurnia rezeki yang halal dan baik, amalan salih yang diterima serta perniagaan yang tidak rugi.

Ya Allah ya Tuhan kami! Lapangkanlah dada kami, tutupilah keburukan kami, ampunilah dosa kami, tenteramkanlah hati kami dari ketakutan, sempurnakanlah amalan-amalan kami dengan kebajikan, terimalah amalan-amalan kami. Engkau jadikanlah kami dari golongan hamba-hambaMu yang salih itu iaitu dari golongan mereka yang tiada takut terhadap seteru dan tidak merasai susah hati.

Ya Allah ya Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.

Ya Allah ya Tuhan kami! Janganlah engkau pesongkan hati kami setelah Engkau petunjuk kepada kami, berikan rahmat dari kemurahanMu, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pemurah memberi anugerah.

Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah dosaku, dosa kedua ibubapaku, serta seluruh mukmin mukminah pada hari dihisabkan amalan. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Maha suci Tuhanku! Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan dari apa yang mereka sifatkan, dan salam sejahtera ke atas sekalian Rasul serta segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.

Aminnnn.

No comments: